Wednesday, March 9, 2011

Taklimat Pelajar Perubatan - Kembali Meneruskan Pengajian Ke Mesir

KUALA TERENGGANU: Pelajar Perubatan dan Pergigian yang akan kembali ke universiti masing-masing di Mesir dengan pembiayaan Kerajaan Negeri dan MAIDAM telah menghadiri sessi pendaftaran dan taklimat yang telah diadakan pada hari Khamis;10 March 2011, jam 10.30 pagi di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Seramai 178 pelajar perubatan dan pergigian telah hadir serta mengembalikan borang maklumat dan mendaftarkan diri dengan pentadbiran negeri bagi mengikuti penerbangan yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri dan MAIDAM. Disamping itu sejumlah 350 orang terdiri daripada ibu bapa, penjaga dan keluarga pelajar turut hadir sama dalam majlis pada pagi ini.

Majlis taklimat telah dipengerusikan oleh Ustaz Lukema Meri Salleh Penolong Setiausha Kerajaan (Agama dan Penerangan). Dalam majlis ini taklimat dan amanat telah disampaikan oleh Ustaz Haji Shamsuddin Sulong Pengarah Unit Komunikasi Negri, Ustaz Kamaruddin Omar Pegawai Khas Agama Pejabat Menteri Besar Terengganu dan En Razali Mahmud Ketua Penolong Pengarah (Tajaan dan Luar Negara) Yayasan Terengganu.

Pelajar-pelajar terbabit dijangka berlepas kembali ke Mesir pada 15 Mac 2011. Sekiranya masih ada pelajar perubatan dan pergigian tajaan Yayasan dan MAIDAM yang belum mendaftar, mereka boleh menghubungi Yayasan Terengganu atau MAIDAM.
Pelajar-pelajar dinasihatkan selalu melayari sesawang website ini dan menghubungi Yayasan Terengganu atau MAIDAM dari masa ke semasa untuk perkembangan dan maklumat terkini.

No comments:

Post a Comment