Sunday, February 6, 2011

Pelan Tindakan Evakuasi tidak memihak pelajar Malaysia

KUALA LUMPUR 4 Feb. -Utusan Malaysia Online melaporkan bahawa timbul dilema di kalangan rakyat Malaysia untuk keluar dari Mesir berikutan Pelan Tindakan Evakuasi yang diperkenalkan kelmarin dilihat tidak memihak kepada penuntut yang bakal menghadapi peperiksaan sebaik cuti musim sejuk tamat.

Menurut penuntut tahun kedua jurusan perubatan di Universiti Tanta, Mesir, Azizul Hakim Mahdi, 20, kesulitan itu timbul berikutan kebanyakan universiti di Mesir mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian seperti yang dirancang iaitu pada 12 Februari ini.

Katanya, pihak universiti hanya memberi kelonggaran kepada pelajar asing untuk mendaftar semula dalam tempoh sebulan dari tarikh tersebut.

"Pada awalnya saya merancang untuk terus tinggal di Mesir berikutan keadaan rusuhan di Tanta tidaklah seburuk di Kaherah.

"Bagaimanapun, pihak kedutaan tidak dapat menjamin keselamatan kami, maka saya terpaksa mengambil keputusan mengikut pelan tindakan yang diperkenalkan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berdasarkan modus operandi pelan berkenaan, mereka yang masih berada di negara itu akan dikumpulkan di beberapa tempat sebelum penerbangan keluar dibuat dengan menggunakan Malaysia Airlines (MAS), AirAsia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurut Azizul, sehingga kini dia masih memikirkan sama ada mahu terus tinggal di Jeddah atau pulang ke Malaysia.

Katanya, berikutan pelan itu juga keadaan rumah negeri dan lapangan terbang di Kaherah menjadi semakin sesak berikutan masing-masing menunggu giliran untuk dibawa keluar dari Mesir.

Pengarah Urusan Medic Mesir, Siti Haniza Mohd. Nazri berkata, dia telah mengambil inisiatif menghubungi semua Dekan Fakulti Perubatan di Mesir bagi mendapatkan tarikh sebenar kuliah akan bermula.

"Kebanyakan dekan universiti di sana berasa terkejut dengan pengumuman cuti yang dikeluarkan sebelum ini dan mahu mengekalkan tarikh pembukaan sesi kuliah seperti dijadualkan.

"Namun, ia mustahil bagi pelajar Malaysia kerana Pelan Tindakan Evakuasi baru sahaja dimulakan dan masih banyak perkara yang perlu diselesaikan setelah keluar dari Mesir nanti," katanya.

Sementara itu, menurut penuntut tahun kedua jurusan perubatan di Universiti Tanta, Masyitah Abd. Halilah, 21, dia berasa lebih selamat berkumpul di situ biarpun sudah semalaman menunggu di lapangan terbang.

"Walaupun rusuhan di Tanta tidak teruk, namun faktor keselamatan menjadi kebimbangan kami terutamanya di kalangan pelajar wanita.

"Sungguhpun tiada kejadian tembak-menembak, saya masih berasa tidak selamat kerana bimbang berikutan banduan yang masih bebas di mana-mana selepas penjara dimusnahkan ketika rusuhan menjadi tegang tempoh hari," katanya.

Selain itu, katanya, dia kini sedang menunggu tiket penerbangan untuk pulang terus ke Malaysia bagi membuat persiapan menghadapi peperiksaan pada awal Mac ini.

No comments:

Post a Comment